Che Sing Khor Miri Terima Peruntukan UNIFOR RM350,000
MIRI: Kerajaan Sarawak terus menzahirkan komitmen menyokong pembangunan serta kebajikan institusi keagamaan pelbagai agama di negeri ini apabila Pertubuhan Membina Akhlak Che Sing Khor Miri menerima peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM350,000.
Penyerahan cek replika tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.74 Pujut, Adam Yii Siew Sang, dalam satu majlis yang berlangsung di Pertubuhan Membina Akhlak Che Sing Khor Miri, di sini pada Selasa.
Turut hadir ialah Pengerusi Pertubuhan Membina Akhlak Che Sing Khor Miri, Khor Ooi Long serta barisan jawatankuasa pertubuhan berkenaan.
Dalam ucapannya, Adam Yii berkata peruntukan di bawah UNIFOR merupakan antara inisiatif penting Kerajaan Sarawak dalam membantu institusi keagamaan bukan Islam, khususnya bagi tujuan pembaikan, penyelenggaraan dan pembesaran premis.
Menurut beliau, pendekatan tersebut mencerminkan sikap keterbukaan serta sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap perkembangan semua agama secara harmoni dan seimbang.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada tahun ini, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM90 juta di bawah UNIFOR, selain tambahan RM2 juta khusus untuk sekolah-sekolah agama.
Jelasnya, peruntukan itu akan terus dipertingkatkan pada tahun hadapan apabila jumlah keseluruhan bagi 2026 dijangka meningkat kepada RM120 juta, berserta tambahan RM10 juta lagi.-EDISI UKAS