Perpaduan, Kekeluargaan Dan Tanggungjawab Bersama Teras Pembinaan Sarawak
KUCHING: Semangat perpaduan, kekeluargaan dan tanggungjawab bersama terus menjadi teras utama dalam membina masa depan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian berkata Krismas merupakan detik istimewa apabila rakyat tanpa mengira latar belakang kembali berkumpul bersama keluarga, sahabat dan insan tersayang untuk berkongsi kegembiraan, menjamu selera serta mengeratkan hubungan silaturahim, sekali gus mencerminkan keunikan dan kekuatan masyarakat Sarawak yang bersatu sebagai anak-anak Sarawak.
Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak pada tahun 2025 adalah jauh berbeza berbanding sedekad lalu, dengan negeri ini kini menjadi tumpuan dan rujukan di peringkat nasional.
Justeru, setiap rakyat Sarawak diseru agar memainkan peranan masing-masing dan menyumbang mengikut kemampuan demi kemajuan bersama.
“Kita perlu duduk sejenak, berfikir apa yang boleh saya lakukan untuk Sarawak, apa yang boleh kita lakukan bersama untuk Sarawak.
“Waktu ini adalah masa untuk kita ‘recharge’ supaya apabila melangkah ke tahun 2026, kita memulakan semula dengan semangat pembinaan Sarawak,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Krismas 2025 pada Rabu.
Dalam perutusannya, beliau menekankan aspirasi jangka panjang negeri untuk terus berkembang menjelang tahun 2030, selari dengan usaha membina Sarawak yang lebih maju, berdaya saing dan makmur untuk generasi akan datang.
Beliau turut mendoakan agar semua rakyat dikurniakan kesihatan yang baik agar terus menyumbang kepada agenda pembangunan dan pembinaan negara Sarawak.-EDISI UKAS