KUCHING: Koperasi Pro Belia Inovatif Sarawak (KOBIS) Berhad telah melancarkan 'Kenyalang Cribs Initiative' dan 'Kenyalang F&B Nexus' yang mencerminkan keberanian untuk meneroka inisiatif berasaskan inovasi dan keperluan semasa.
Ahli Parlimen Batang Sadong merangkap Penasihat KOBIS Berhad Rodiyah Sapiee berkata, usaha sebegini untuk memperkasa belia melalui platform koperasi seperti KOBIS Berhad khususnya dalam menyediakan peluang keusahawanan, latihan kemahiran dan pembinaan kepimpinan.
"Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin kepada penciptaan peluang ekonomi baharu, meningkatkan penglibatan belia dalam sektor berpotensi tinggi serta membangunkan
ekosistem perniagaan yang inklusif dan mampan.
"Setiap inisiatif yang dilaksanakan perlu berpaksikan perancangan rapi, pengurusan risiko yang berkesan dan memberi manfaat jangka panjang kepada anggota koperasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan KOBIS Berhad di sebuah hotel terkemuka di sini pada Selasa.
Dengan pelancaran ini jelasnya, KOBIS Berhad wajar terus menjadi ruang pembangunan kepimpinan, keusahawanan
dan inovasi bagi melahirkan belia yang bukan sekadar pencari kerja, tetapi pencipta peluang.
Sementara itu, Rodiyah juga menyeru ahli KOBIS Berhad untuk terus mengamalkan prinsip tadbir urus yang baik, pematuhan perundangan serta pengurusan kewangan yang telus dan berakauntabiliti.
Sebagai Penasihat, beliau berharap KOBIS Berhad akan terus memperkukuh peranannya sebagai penghubung strategik antara belia, agensi kerajaan, institusi kewangan, pihak akademia dan sektor swasta, khususnya dalam membuka akses
kepada latihan, pasaran dan jaringan industri yang lebih luas, termasuk di kawasan Parlimen Batang Sadong. -EDISI UKAS