Sambutan Hari Krismas Wadah Perkukuh Kekeluargaan, Semai Nilai Toleransi
KUCHING: Sambutan Hari Krismas di Sarawak terus menjadi wadah penting untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan dan persahabatan, di samping menyemai nilai toleransi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, ia juga berperanan sebagai medium memperkukuh keharmonian sosial yang menjadi asas kestabilan dan pembangunan wilayah ini.
Menurut beliau, keharmonian yang dinikmati Sarawak hari ini merupakan manifestasi sifat inklusif rakyatnya yang mengamalkan nilai asas kemanusiaan seperti budi pekerti, toleransi dan saling menghormati dalam kehidupan seharian.
“Kita amat bertuah kerana sambutan Hari Krismas diraikan bersama oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.
"Inilah resepi yang menjadikan Sarawak sentiasa unik, bersatu dan teguh sebagai sebuah wilayah maju,” katanya dalam perutusan perayaan Hari Krismas 2025 dan sambutan Tahun Baharu 2026, terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Rabu.
Sehubungan itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menyeru, agar rakyat terus mengekalkan tradisi kunjung-mengunjung serta mengamalkan sikap hormat-menghormati sepanjang musim perayaan ini, sebagai usaha mengeratkan ikatan kekeluargaan dan persahabatan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Dalam perutusan sama, beliau juga mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan berwaspada, terutama ketika berada di jalan raya, serta menjaga kesihatan diri kerana keadaan cuaca yang tidak menentu boleh memberi kesan kepada kesejahteraan.-EDISI UKAS