Sarawak di Landasan Kukuh Menjadi ‘Bintang’ Ekonomi ASEAN
KUCHING: Sarawak berada di landasan yang tepat untuk merealisasikan visinya menjadi sebuah ‘bintang’ dalam ekonomi ASEAN, selaras dengan kekuatan dan kekayaan sumber yang dimiliki oleh negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sasaran tersebut merupakan satu cabaran besar namun tidak mustahil direalisasikan memandangkan Sarawak mempunyai asas ekonomi yang kukuh serta potensi besar dalam sektor tenaga bersih dan sumber asli.
Jelasnya, Sarawak bersedia untuk muncul sebagai peneraju dalam pengeluaran tenaga bersih, termasuk menjadi perintis dalam pengeluaran dan eksport hidrogen hijau serta tenaga solar dengan memanfaatkan sistem sungai yang luas serta kapasiti tenaga hidro yang besar.
“Sarawak juga telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada cadangan Grid Kuasa ASEAN serta sebagai sumber penjanaan tenaga boleh diperbaharui, yang seterusnya akan menyokong aspirasi negeri ini untuk menjadi ‘bateri’ tenaga bagi rantau ini,” katanya dalam perutusan khas pada Rabu sempena Sambutan Krismas 2025.
Dalam sektor gas asli, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Sarawak dianugerahkan dengan sumber gas yang amat besar yang akan digunakan sebagai bahan mentah bagi industri petrokimia, termasuk pembinaan infrastruktur sokongan seperti saluran paip gas dan terminal.
Jelasnya, sektor ini dijangka akan terus merancakkan ekonomi Sarawak dengan potensi pelaburan bernilai berbilion ringgit.
Sarawak juga bernasib baik kerana struktur geologi darat dan luar pesisirnya mempunyai potensi besar untuk penyimpanan karbon bagi menyokong inisiatif Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).
“Inisiatif ini dijangka akan mewujudkan sumber pendapatan baharu kepada ekonomi Sarawak,” ujarnya.
Selain itu katanya, industri semikonduktor turut dilihat sebagai satu lagi sektor berpotensi tinggi untuk Sarawak dengan pelbagai langkah telah diambil bagi meletakkan Sarawak sebagai pemain utama dalam ekosistem semikonduktor, dengan tumpuan kepada reka bentuk cip kompaun, penyelidikan serta inovasi. -EDISI UKAS