Sarawak Perkukuh Modal Insan Melalui FTES Mulai 2026
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited dalam membangunkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran tinggi, selari dengan agenda pembangunan fizikal dan ekonomi negeri.
Sehubungan itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, semua anak Sarawak yang mendaftar di universiti milik Kerajaan Negeri akan menerima pendidikan percuma di bawah Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) bermula tahun hadapan.
Menurutnya, sebanyak 64 program ijazah sarjana muda telah dikenal pasti untuk dimasukkan di bawah skim ini, melibatkan seramai 10,000 pelajar dengan kos keseluruhan berjumlah RM250 juta.
“Skim ini terbuka kepada semua pelajar yang layak tanpa mengira latar belakang pendapatan keluarga, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam menjadikan pendidikan sebagai satu keperluan asas.
“Melalui pelaksanaan skim ini, kerajaan bukan sahaja melabur untuk masa depan individu, malah turut melabur untuk masa depan Sarawak dengan menyediakan tenaga kerja yang berpendidikan tinggi, berdaya saing dan berkeupayaan memacu ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya dalam perutusan khas pada Rabu sempena Sambutan Krismas 2025.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Kerajaan Sarawak juga komited untuk memperkukuh tahap pendidikan sekolah menengah melalui penubuhan Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS) selaras dengan inisiatif FTES.
Jelasnya, inisiatif ini merupakan satu langkah besar dalam strategi pendidikan negeri yang menawarkan Kurikulum Cambridge serta menyelaraskan sistem pendidikan Sarawak dengan piawaian antarabangsa. -EDISI UKAS