Penduduk Diminta Bertanggungjawab Cegah Pembiakan Aedes, Elak Penularan Denggi
KUCHING: Orang ramai diingatkan agar memainkan peranan masing-masing dalam mencegah pembiakan nyamuk Aedes dan penularan penyakit denggi dengan memastikan kediaman mereka bebas daripada air bertakung.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng berkata, pihak majlis akan melaksanakan tanggungjawab mereka seperti membersihkan dan membilas longkang, namun pemilik rumah perlu memainkan peranan masing-masing.
“Sekiranya terdapat pembiakan jentik-jentik nyamuk dikesan di kawasan rumah, tindakan kompaun akan dikenakan iaitu sebanyak RM250 bagi setiap jentik-jentik yang dijumpai.
“Dengan melaksanakan tanggungjawab ini, anda bukan sahaja mematuhi undang-undang, malah turut melindungi diri sendiri dan ahli keluarga kerana pencegahan ini bukan tanggungjawab kerajaan atau pihak majlis semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya ketika menghadiri Program Kesedaran Denggi di Jalan Sekama di sini, pada Rabu.
Dato Wee juga menasihati penduduk untuk membersihkan dan membilas longkang di dalam kawasan rumah masing-masing, memastikan air yang terdedah ditutup, serta menukar air secara berkala, termasuk air di dalam pasu bunga dan bekas simpanan air.
Tambahnya, risiko pembiakan nyamuk boleh berlaku pada bila-bila masa dan tidak terhad kepada tempoh kempen semata-mata.
Selain itu, beliau juga meminta penduduk memberi kerjasama penuh kepada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika pemeriksaan dijalankan serta membenarkan mereka memasuki premis.
“Sekiranya aktiviti pengasapan (fogging) dilakukan, penduduk dinasihatkan untuk menyembur racun serangga di dalam rumah masing-masing selepas pulang memandangkan tidak semua rumah dapat dimasuki semasa operasi.
“Kerjasama penuh penduduk amat diharapkan bagi memastikan usaha pencegahan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi keselamatan dan kesejahteraan bersama,” ujarnya. -EDISI UKAS