KUCHING: Kerajaan Sarawak mengunjurkan hasil sebanyak RM13.1 bilion dengan perbelanjaan berjumlah RM12.91 bilion, sekali gus menghasilkan bajet lebihan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak berhasrat untuk bermegah dengan jumlah hasil dan saiz bajet yang besar, sebaliknya ia mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk mempercepatkan pelaksanaan pembangunan.
“Komitmen Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap pembangunan kekal utuh apabila Belanjawan 2026, seperti bajet-bajet sebelumnya, memperuntukkan kira-kira 60 hingga 70 peratus untuk perbelanjaan pembangunan berbanding 30 hingga 40 peratus bagi perbelanjaan mengurus,” katanya dalam perutusan khas sempena Sambutan Krismas 2025 pada Rabu.
Tambahnya, perbelanjaan pembangunan ini khususnya dalam penyediaan infrastruktur jalan raya, bekalan air dan elektrik demi manfaat rakyat serta bagi mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk transformasi ekonomi Sarawak.
Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, pendapatan negeri Sarawak yang telah meningkat sebanyak 2.4 kali ganda berbanding lapan tahun lalu merupakan satu nikmat yang wajar dikongsi bersama seluruh rakyat Sarawak, khususnya melalui penyediaan infrastruktur, kemudahan asas serta pembangunan sumber manusia.
Menurut beliau, antara projek yang dijalankan adalah Projek Jalan Raya Miri–Marudi–Mulu–Long Panai–Long Lama (MMMLL) sepanjang 142 kilometer (km) yang melibatkan kos sebanyak RM3.8 bilion, dibiayai sepenuhnya daripada dana Sarawak sendiri.
Selain itu jelasnya, Projek Sarawak–Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR2) yang baru dimulakan turut memperkukuh jaringan jalan raya di utara Sarawak, sekali gus menghubungkan negeri ini dengan Sabah tanpa perlu melalui Brunei.
“SSLR Fasa 2 merupakan kesinambungan kepada SSLR Fasa 1 dari Lawas ke Long Luping yang kini telah mencatat kemajuan pelaksanaan sebanyak 57.6 peratus.
“Melalui pembinaan jalan-jalan ini, rakyat di utara Sarawak tidak lagi perlu menanggung kos lintasan, mengurus pasport atau melalui pos imigresen untuk bergerak antara destinasi dalam negara,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Kerajaan Sarawak turut merancang untuk mengambil alih sepenuhnya jalan-jalan balak sepanjang kira-kira 6,000 kilometer di seluruh negeri bagi dinaik taraf menjadi jalan awam menjelang tahun 2030.
Dengan semua projek ini mula dijalankan dan dilaksanakan, keseluruhan inisiatif ini dijangka akan memperkukuh keterhubungan wilayah utara Sarawak serta membuka lebih banyak potensi ekonomi baharu, khususnya dalam sektor pertanian dan pelancongan luar bandar. -EDISI UKAS