Ahmad Raslan Yaiyah Dilantik Penguasa JTS Bahagian Samarahan Baharu
KOTA SAMARAHAN: Ahmad Raslan Yaiyah secara rasmi dilantik sebagai Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Samarahan yang baharu berkuat kuasa hari ini, menggantikan Mohammad Zunica Mohamad Sapi'ee.
Majlis penyerahan tugas tersebut telah dimuktamadkan menerusi sesi menandatangani Nota Serah Tugas yang disaksikan oleh Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, serta Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, berlangsung di Pohonmas Cafe & Restaurant, di sini, pada Rabu.
Dalam ucapannya, Datu Awang Zamhari merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohammad Zunica atas jasa serta sumbangan beliau sepanjang tiga tahun berkhidmat sebagai Penguasa JTS Bahagian Samarahan dari tahun 2022 hingga 2025.
Menurutnya, Mohammad Zunica sepanjang tempoh perkhidmatan telah menunjukkan kepimpinan berwawasan dengan komitmen tinggi dan dedikasi berterusan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan jabatan, termasuk membudayakan amalan kualiti dan inovasi melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif penambahbaikan berterusan.
“Usaha transformasi yang diterajui beliau bukan sekadar bertujuan meraih pengiktirafan atau penyertaan pertandingan, tetapi merupakan pendekatan tersusun bagi meningkatkan kecekapan, kualiti perkhidmatan dan kepercayaan rakyat terhadap jabatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohammad Zunica atas pelantikan sebagai Penolong Pengarah Perancangan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, selaras dengan pengalaman luas serta kepakaran beliau dalam bidang perancangan bandar dan desa.
Pada masa sama, Datu Awang Zamhari berharap lantikan Ahmad Raslan membolehkan beliau meneruskan legasi kecemerlangan jabatan melalui pengalaman, kebijaksanaan serta pendekatan kepimpinan yang inklusif.
“Saya percaya beliau mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta melaksanakan dasar dan inisiatif jabatan dengan lebih berkesan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri,” tambahnya.
Sementara itu, Ahmad Raslan dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan serta komitmen untuk meneruskan dan mempertingkatkan lagi pencapaian yang telah dibina oleh kepimpinan terdahulu, dengan sokongan padu seluruh warga Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan serta kerjasama erat pentadbiran bahagian. -EDISI UKAS