Konsert ACG Bertaraf Antarabangsa Bakal Cipta Sejarah di Kuching
KUCHING: Fenomena tarian global dari Jepun, Avantgardey, bakal membuat penampilan sulung mereka di Borneo sebagai artis utama dalam konsert orkestra berskala besar, “The ACG Concert”, yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya pada 31 Januari 2026.
Konsert anjuran The Band Lab (Persatuan Wind Orkestra Kuching) itu dijangka menjadi konsert Animation, Comics and Games (ACG) berkonsepkan orkestra penuh terbesar pernah diadakan di Borneo, menampilkan gabungan 60 pemuzik orkestra, penyanyi profesional, penari serta koir 50 anggota daripada Dolce Chanticleer.
Disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, penganjuran edisi terbaharu ini menandakan evolusi signifikan selepas kejayaan “An Anime Symphony” pada 2023 dan “An ACG Symphony” pada 2024, sekali gus mengangkat Kuching sebagai destinasi hiburan dan budaya bertaraf antarabangsa.
Avantgardey, kumpulan 17 penari wanita dari Jepun yang meraih pengiktirafan global sebagai finalis America’s Got Talent serta “Persons of the Year” oleh Vogue Japan, terkenal dengan koreografi seragam unik, kostum retro dan gaya rambut bob ikonik, dan bakal berkolaborasi secara langsung dengan orkestra dalam persembahan bertenaga tinggi di Sarawak.
Presiden The Band Lab, Jesmond Siew berkata, kehadiran Avantgardey mencerminkan peningkatan pengaruh Kuching sebagai hab kebudayaan serantau, di samping membuka ruang pertukaran seni kontemporari Jepun dengan penonton tempatan.
Konsert berdurasi dua jam itu akan membawa penonton mengembara melalui runut bunyi anime popular dunia termasuk Naruto, Haikyuu, Demon Slayer serta karya ikonik Studio Ghibli seperti My Neighbour Totoro, Spirited Away, Howl’s Moving Castle dan Suzume, disokong rekaan pencahayaan sinematik serta kesan piroteknik moden.
Penganjur turut menggalakkan peminat hadir dengan kostum cosplay bagi memeriahkan suasana konsert dan menjadikan penonton sebahagian daripada pengalaman “Beyond Epic” yang diketengahkan.
Tiket Early Bird ditawarkan sehingga 31 Disember 2025 dan boleh didapati secara eksklusif menerusi Ticket2U.