Konflik Timur Tengah Berpotensi Cetus Kesan Domino Kepada Industri Pelancongan
KUCHING: Konflik berterusan di Timur Tengah berpotensi memberi kesan kepada industri pelancongan global sekiranya ketegangan geopolitik yang berlaku menjejaskan kestabilan pasaran minyak dunia dan ekonomi antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata situasi semasa masih sukar diramalkan kerana ia bukan sahaja melibatkan Iran dan Amerika Syarikat, malah turut dipengaruhi pelbagai faktor geopolitik lain yang mempunyai kepentingan tersendiri di rantau berkenaan.
Menurut beliau, walaupun terdapat pelbagai usaha diplomatik ke arah penyelesaian konflik, perkembangan semasa masih perlu dipantau dengan teliti memandangkan keadaan boleh berubah pada bila-bila masa.
“Bukan mudah untuk membuat ramalan kerana keadaan boleh berubah dari semasa ke semasa. Ia bukan hanya melibatkan Iran dan Amerika Syarikat, tetapi turut membabitkan pihak lain yang mempunyai kepentingan masing-masing dalam konflik tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkara tersebut selepas merasmikan Program Memperingati Ulang Tahun Ke-200 Kelahiran János Xantus di Pustaka Negeri Sarawak, pada Jumaat.
Dato Sri Abdul Karim berkata keamanan di Timur Tengah amat penting kerana sebarang ketidakstabilan yang berpanjangan boleh memberi kesan langsung kepada harga minyak dunia, sekali gus mencetuskan implikasi yang lebih luas terhadap ekonomi global.
Menurut beliau, kenaikan harga minyak lazimnya akan memberi kesan kepada kos operasi pelbagai sektor termasuk pengangkutan, logistik dan penerbangan yang menjadi komponen penting dalam industri pelancongan.
“Harga minyak boleh mencetuskan kesan domino kepada banyak sektor lain. Apabila harga minyak meningkat, ia akan memberi kesan kepada pelbagai aspek ekonomi dan akhirnya turut mempengaruhi industri pelancongan,” katanya.
Tegasnya, sektor pelancongan merupakan antara industri yang paling sensitif terhadap perkembangan geopolitik global kerana ia bergantung kepada keyakinan pelancong, kestabilan ekonomi serta kos perjalanan.
Sehubungan itu, beliau berharap segala usaha diplomatik dan rundingan yang sedang dijalankan oleh pihak berkepentingan dapat menghasilkan penyelesaian yang berkekalan demi menjamin keamanan dan kestabilan di rantau tersebut.
“Apa yang kita harapkan ialah keamanan dapat diwujudkan kerana kestabilan akan memberi manfaat kepada semua pihak, termasuk industri pelancongan yang bergantung kepada persekitaran global yang aman dan kondusif,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keamanan dan kestabilan geopolitik dunia bukan sahaja penting untuk pertumbuhan ekonomi global, malah menjadi faktor utama dalam memastikan industri pelancongan terus berkembang secara mampan.— EDISI UKAS