Legasi János Xantus Perkukuh Hubungan Sarawak-Hungary
KUCHING: Legasi János Xantus, seorang naturalis dan pengembara Hungary yang pernah menjalankan penyelidikan di Sarawak pada abad ke-19, terus diangkat sebagai simbol hubungan sejarah yang menghubungkan Sarawak dan Hungary, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama lebih luas dalam bidang budaya, akademik, penyelidikan dan pelancongan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pendedahan mengenai sumbangan tokoh tersebut memberi perspektif baharu terhadap sejarah Sarawak yang selama ini lebih banyak dikaitkan dengan pengembara dan saintis dari United Kingdom.
Menurut beliau, penemuan serta dokumentasi yang dihasilkan oleh János Xantus sepanjang berada di Sarawak menjadi sebahagian daripada rekod penting yang membantu memperkayakan pemahaman mengenai sejarah, alam semula jadi dan masyarakat di Borneo pada abad ke-19.
“Sebelum ini, apabila bercakap mengenai pengembara atau saintis yang pernah datang ke Sarawak, kita sering mengaitkannya dengan tokoh-tokoh dari United Kingdom. Namun program ini membuka ruang kepada kita untuk mengenali seorang lagi pengembara dan naturalis dari Hungary yang turut memberikan sumbangan penting menerusi penyelidikan dan penulisannya mengenai Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Memperingati Ulang Tahun Ke-200 Kelahiran János Xantus (1825-1894) yang dianjurkan Pustaka Negeri Sarawak (PNS) dengan kerjasama Kedutaan Hungary di Malaysia di Pustaka Negeri Sarawak pada Jumaat.
Dato Sri Abdul Karim berkata walaupun János Xantus hanya berada di Sarawak dalam tempoh yang singkat, beliau berjaya merakamkan pelbagai pemerhatian dan penemuan yang kemudiannya diterbitkan dalam bentuk penulisan serta menjadi rujukan berharga kepada generasi selepasnya.
Katanya, usaha mendokumentasikan semula perjalanan dan sumbangan tokoh tersebut bukan sahaja memperkaya khazanah sejarah Sarawak, malah berpotensi mencetuskan minat baharu dalam kalangan penyelidik antarabangsa untuk meneroka lebih banyak aspek sejarah dan warisan negeri ini.
“Apa yang menarik ialah kita dapat melihat Sarawak melalui perspektif seorang saintis dan pengembara Eropah pada zaman tersebut. Ini memberikan nilai tambah kepada sejarah dan warisan ilmu yang kita miliki hari ini,” katanya.
Menurut beliau lagi, kerjasama antara PNS, Kedutaan Hungary di Malaysia, institusi akademik dan pihak penyelidik dalam menjayakan program tersebut turut membuktikan bahawa sejarah dan warisan mampu menjadi medium penting dalam memperkukuh hubungan antarabangsa.
Beliau berkata inisiatif seumpama itu juga berpotensi meningkatkan profil Sarawak di peringkat global, khususnya dalam bidang pelancongan budaya, penyelidikan dan pertukaran ilmu.
“Saya berharap penerbitan dan penyelidikan seperti ini akan menjadikan Sarawak lebih dikenali di Hungary dan di bahagian lain dunia serta membuka peluang kepada lebih banyak kerjasama penyelidikan, pertukaran ilmu dan promosi pelancongan pada masa hadapan,” katanya.
Program tersebut turut menampilkan sesi bicara buku Xántus and/es Borneo: A Hungarian Naturalist in 19th-Century Sarawak oleh Tamás Kiss dan Christopher Higgs yang mengupas perjalanan, penemuan serta sumbangan János Xantus sepanjang berada di Borneo.
Turut diadakan tayangan filem animasi mengenai kehidupan dan legasi tokoh berkenaan, selain upacara pemasangan tiang ukiran kayu peringatan dan plak khas sebagai simbol penghargaan terhadap sumbangan beliau kepada Sarawak.
Turut hadir Duta Hungary ke Malaysia, Dr Sándor Sipos, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan PNS, Datu Rashidah Bolhassan, Ahli Lembaga Pengurusan PNS, Dato Ir. Lo Khere Chiang dan Datu William Patrick Nyigor serta Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Japri Bujang Masli.— EDISI UKAS