Raptai Program Walkabout & Live Run SKAS 2026 Sempena Pembukaan Rasmi Farley Garden Kuching Berjalan Lancar
KUCHING: Raptai Program Walkabout dan Live Run Program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 sempena Majlis Pembukaan Rasmi Farley Garden Kuching yang diadakan di Farley Kuching pada Jumaat berjalan lancar sebagai persediaan menjelang pelaksanaan program tersebut pada Sabtu.
Raptai berkenaan disaksikan oleh Pegawai Daerah Kuching, Zaidi Sarkawi, bagi memastikan semua aspek pengurusan, penyelarasan serta pelaksanaan program berada pada tahap terbaik.
Pelaksanaan raptai turut membolehkan pihak penganjur meneliti aspek teknikal dan logistik termasuk aliran pergerakan, penyelarasan petugas serta kelancaran demonstrasi transaksi bagi memastikan program berlangsung tanpa sebarang masalah.
Program berkenaan bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang akan mengadakan sesi walkabout serta meninjau pelaksanaan SKAS 2026.
Menerusi sesi tersebut, Premier Sarawak akan menyaksikan demonstrasi transaksi pembelian barangan keperluan asas menggunakan bantuan SKAS di Pasar Raya Farley sebagai sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Sesi live run itu bertujuan memperlihatkan proses penggunaan bantuan SKAS oleh penerima manfaat serta menilai keberkesanan mekanisme pelaksanaannya dalam membantu rakyat mendapatkan keperluan harian dengan lebih mudah dan teratur.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang