Teparok Bukan Lagi Masalah, Kini Jana Pendapatan Komuniti Dalat
DALAT: Inovasi, teknologi dan kerjasama strategik berjaya mengubah masalah keladi bunting atau ‘teparok’ yang sekian lama membelenggu penduduk di Dalat kepada sumber ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pendekatan bersepadu melalui projek pemprosesan baja organik dan makanan ternakan menggunakan teknologi Lalat Askar Hitam (Black Soldier Fly) membuktikan bahawa sesuatu cabaran boleh ditukar menjadi peluang yang bernilai.
Menurutnya, selama bertahun-tahun teparok menjadi masalah utama kepada penduduk kerana pertumbuhannya yang tidak terkawal dalam kuantiti besar.
“Kehadirannya mengganggu laluan sungai, aktiviti nelayan, pengangkutan sungai serta menjejaskan keseimbangan ekosistem sungai.
“Alhamdulillah, kini ia telah berjaya ditukar menjadi sumber yang bernilai melalui projek pemprosesan baja organik dan makanan ternakan dengan penggunaan teknologi Lalat Askar Hitam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Pusat Pemprosesan Baja Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat, pada Jumaat.
Sehubungan itu, Dato Sri Fatimah berkata, projek ini membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan kerana aktiviti penuaian dan penjualan teparok serta penglibatan dalam operasi pemprosesan mewujudkan sumber pendapatan tambahan kepada komuniti.
Tambah beliau, inisiatif itu turut membuka ruang kepada penyertaan wanita, belia dan isi rumah dalam aktiviti ekonomi produktif sekali gus membantu meningkatkan pendapatan keluarga, memperkukuh kesejahteraan sosial serta memperkasakan komuniti luar bandar.
Dalam pada itu, berharap model pembangunan yang dilaksanakan di Dalat dapat dijadikan contoh dan diperluaskan ke kawasan lain yang berdepan cabaran serupa.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada PETRONAS, Pejabat Daerah Dalat, Koperasi Lestari Dalat serta semua rakan strategik yang terus komited menyokong pembangunan komuniti secara mampan.
”Kita perlu terus berganding bahu, memperkukuh kerjasama strategik serta memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menjamin kelestarian alam sekitar.” tambahnya.
Turut hadir, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, ADUN Tellian Royston Valentine, Pengurus Besar Kanan Perhubungan Pihak Berkepentingan PETRONAS Khairuddin Mohd Jaafar, Pengurus Besar PETRONAS Sarawak Norazibah Mohd Rabu, Residen Bahagian Mukah Bujang Rahman Seli dan Pegawai Daerah Dalat Mathew Hubert. -EDISI UKAS