Limbang, Lawas Disasar Jadi Hab Pertumbuhan Sempadan Bertaraf Serantau
GYŐR: Sarawak meneliti model pembangunan bandar sempadan yang berjaya dilaksanakan di Győr, Hungary sebagai rujukan untuk memperkukuh perancangan pembangunan Limbang dan Lawas sebagai hab pertumbuhan baharu di utara negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengalaman Győr membangunkan ekonomi berasaskan industri, logistik, pendidikan dan perkhidmatan mampu memberikan panduan berguna dalam merancang pembangunan jangka panjang kedua-dua kawasan berkenaan.
Menurut beliau, Limbang dan Lawas memiliki kedudukan strategik kerana terletak berhampiran Brunei Darussalam, Sabah dan Kalimantan, Indonesia, sekali gus berpotensi muncul sebagai pusat pertumbuhan sempadan yang menghubungkan aktiviti perdagangan, pelaburan dan mobiliti serantau.
“Kami berminat untuk memahami bagaimana Győr memanfaatkan kedudukan strategiknya sebagai bandar sempadan untuk memacu pembangunan industri, pertumbuhan bandar, pembangunan tenaga kerja dan jaringan perhubungan secara seimbang serta mampan.
“Győr membuktikan bahawa sesebuah bandar boleh berkembang menjadi pusat ekonomi yang kompetitif sambil mengekalkan persekitaran bandar yang selesa dan berkualiti untuk didiami,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke Municipality of the City of Győr pada Khamis.
Beliau berkata, antara aspek yang diberi perhatian ialah kaedah bandar itu mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kebolehdiaman melalui penyediaan perumahan berkualiti, sistem pengangkutan yang cekap, kemudahan awam, pengurusan alam sekitar dan infrastruktur sosial.
Tambahnya, hasil lawatan tersebut dijangka membantu memperkukuh penyediaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2030, khususnya dalam aspek perancangan bandar sempadan, strategi guna tanah, kesalinghubungan, logistik, pembangunan pelancongan serta penyelarasan rentas sempadan.
“Pengetahuan yang diperoleh daripada lawatan ini akan membantu membentuk Limbang dan Lawas sebagai pusat pertumbuhan sempadan yang lebih berdaya saing, berhubung dan mampan, di samping meningkatkan kualiti hidup masyarakat di wilayah utara Sarawak,” katanya.-EDISI UKAS