400 Warga Saratok Pelbagai Kaum & Agama Terima Sumbangan Bakul Makanan
SARATOK: Seramai 400 penerima daripada pelbagai kaum dan agama di sini, menerima sumbangan bakul makanan dalam program anjuran Pertubuhan Amal dan Pendidikan Akhlak Ji Yuan Shan She Saratok yang diadakan, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri dan ADUN Krian Friday Belik hadir menyantuni serta menyampaikan sumbangan kepada para penerima dalam program yang berlangsung di Dewan Terbuka Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Syn Saratok.
Program sumbangan tersebut diadakan bersempena Kempen Amal dan Derma Darah bagi membantu meringankan beban masyarakat sempena sambutan Hari Natal, khususnya golongan orang kurang upaya (OKU) serta mereka yang memerlukan.
Para penerima terdiri daripada kaum Cina, Iban dan Melayu, sekali gus mencerminkan keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di kawasan tersebut.
Sumbangan bakul makanan yang diagihkan mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, mi, roti serta barangan dapur lain.-EDISI UKAS