Abdul Yakub, Royston Santuni Masyarakat Mukah Sempena Krismas
MUKAH: Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi dan ADUN Tellian Royston Valentine dalam siri kunjungan rumah terbuka Krismas pada Jumaat membuktikan komitmen kepimpinan tempatan dalam mendekati rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Kunjungan ke beberapa kediaman dan lokasi sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian dan DUN Balingian itu bukan sahaja bertujuan memeriahkan sambutan perayaan, malah menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan serta komunikasi antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Menurut kedua-dua pemimpin berkenaan, kehadiran mereka adalah simbol kebersamaan dalam memeriahkan suasana perayaan, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa setiap lapisan masyarakat sentiasa dihargai dan tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan negeri Sarawak yang pesat.
Katanya, amalan kunjung-mengunjung sempena perayaan pelbagai agama merupakan platform penting untuk mendengar pandangan rakyat dalam suasana yang lebih mesra dan terbuka.
Abdul Yakub dan Royston turut menegaskan bahawa kepelbagaian kaum dan agama di Mukah bukan satu penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan yang perlu dipelihara demi memastikan keharmonian dan kestabilan sosial terus terjamin.
Selain meraikan penganut agama Kristian, kehadiran kedua-dua ADUN tersebut mencerminkan nilai toleransi serta semangat perpaduan yang menjadi teras kehidupan masyarakat di Sarawak.
Komitmen berterusan pemimpin dalam menyantuni rakyat melalui pendekatan inklusif seperti ini diharap dapat menyokong usaha pembangunan negeri serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.-EDISI UKAS