FTES Ubah Landskap Pendidikan Tinggi Sarawak, Ringankan Beban Kewangan Pelajar
KUCHING: Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak atau Free Tertiary Education Scheme (FTES) disifatkan sebagai satu inisiatif berimpak besar yang mampu mengubah landskap pendidikan tinggi di negeri ini, khususnya dalam membantu anak-anak Sarawak melanjutkan pelajaran tanpa kekangan kewangan.
Seorang pekerja swasta, Aliah Najwa, menyifatkan pelaksanaan FTES sebagai langkah ke hadapan yang amat signifikan dalam sistem pendidikan negeri.
Menurutnya, skim tersebut membuka peluang lebih luas kepada golongan muda yang sebelum ini terpaksa mengetepikan hasrat melanjutkan pengajian disebabkan kekangan kewangan.
“Ramai pelajar sebenarnya mempunyai potensi besar, namun terhalang oleh faktor kewangan.
“Dengan adanya skim ini, ia memberi akses kepada pendidikan, peluang membangunkan kemahiran dan pengetahuan serta ruang untuk memperbaiki taraf hidup.
“Saya percaya bahawa setiap orang harus mempunyai peluang yang sama rata dalam pendidikan,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Jumaat.
Sementara itu, seorang lagi pekerja swasta, Mohd Fikri Napri, menyambut baik inisiatif Kerajaan Sarawak yang menyediakan skim pendidikan tinggi percuma bagi universiti di bawah seliaan kerajaan negeri.
Jelasnya, FTES memberi kelegaan besar khususnya kepada pelajar luar bandar yang sebelum ini berdepan cabaran kos sara hidup dan akses ke bandar.
“Inisiatif ini banyak membantu anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
“Ia satu usaha yang amat kami hargai dan diharapkan dapat diperluaskan lagi melibatkan lebih banyak institusi pengajian tinggi,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan golongan belia agar tidak menjadikan kesukaran sebagai penghalang untuk menyambung pengajian, sebaliknya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang telah disediakan kerajaan.
“Pendidikan adalah kuasa. Ilmu mampu mengubah kehidupan dan taraf hidup. Selain universiti arus perdana, terdapat juga institusi kemahiran yang boleh menjadi saluran untuk membina masa depan yang lebih baik,” tambahnya.
Dalam pada itu, seorang pendidik, Ixora Kaylyn, menyifatkan FTES sebagai ‘game changer’ kepada generasi muda Sarawak.
Menurutnya, skim ini bukan sahaja membantu pelajar daripada pelbagai latar belakang, malah turut meringankan beban kewangan ibu bapa.
“FTES memberi peluang yang adil kepada setiap anak Sarawak untuk belajar tanpa dibelenggu isu kewangan. Ia juga merupakan pelaburan jangka panjang dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang bersedia memacu ekonomi negeri,” katanya.
Pelaksanaan FTES dilihat sebagai satu langkah berani Kerajaan Sarawak dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan saksama demi masa depan negeri yang lebih mampan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla & Alezxandria Kapple
Foto: Nur Nabilla & Alezxandria Kapple