Miri Art Festival 2.0 Meriahkan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026
MIRI: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri bakal menganjurkan Miri Art Festival 2.0 (MAF 2.0) bermula 31 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026 bertempat di Stadium Tertutup Miri, bersempena sambutan ambang Tahun Baharu 2026.
Festival berkenaan dijangka menjadi platform utama dalam memartabatkan seni, budaya dan keusahawanan tempatan dengan menampilkan pameran kebudayaan melibatkan tujuh etnik utama di Miri, iaitu Persatuan Leto Kenyah Miri, Persatuan Wanita Telang Usan, Persatuan Jatti Mierek Miri, Persatuan Melayu Miri, Persatuan Melanau Miri, Persatuan Berawan Miri dan Persatuan Penan Miri.
Kesemua persatuan ini akan bertanding berdasarkan elemen kesenian, makanan tradisional serta busana warisan masing-masing bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan RM3,000.
Selain itu, MAF 2.0 turut dimeriahkan dengan Pertandingan Tarian Fusi yang menawarkan hadiah bernilai RM6,000, melibatkan lapan kumpulan tarian yang menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari, antaranya Kenyalang Ritma Dancer, Unity Dance Academy, Seni Kenyalang, Gah Rentak Art & Culture serta Tunas Tari Warisan.
Bagi penggemar kulinari, festival ini menampilkan “Black Box Cooking Competition” dengan penyertaan 20 kumpulan yang mencabar kreativiti peserta menghasilkan hidangan berasaskan bahan rahsia yang hanya didedahkan sebelum pertandingan bermula.
Kemuncak festival pada malam 31 Disember 2025 akan menyaksikan sambutan ambang Tahun Baharu 2026 diserikan dengan persembahan artis tersohor dan bakat tempatan, termasuk Ayai Ilusi, Sharman, Nizarddin, Adik Abbiy serta Bobby.
Dalam pada itu, DUBS Cawangan Miri menjemput seluruh warga Miri dan kawasan sekitar untuk hadir memeriahkan Miri Art Festival 2.0 yang bukan sahaja menawarkan hiburan, malah menjadi medan menghargai warisan budaya serta menyokong usahawan tempatan.-EDISI UKAS