![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian menggesa agar kerja berkaitan projek Jambatan Kedua Batu Kawa dan jalan masuk baharu bernilai RM160 juta disegerakan supaya pembangunan dapat dibina secepat mungkin.
Menurutnya, langkah seterusnya ialah mengendalikan secara aktif urusan pengambilan tanah dan tender projek memandangkan kerja-kerja ukur tanah telah siap.
Sehubungan itu, beliau memuji Jabatan Tanah dan Survei (JTS) atas usaha pantas dalam menyiapkan satu pencapaian penting bagi projek itu.
“Disebabkan pembangunan pesat Batu Kawa, terdapat peningkatan ketara dalam kedua-dua penduduk dan lalu lintas, menyebabkan kesesakan yang kerap di sepanjang Jalan Batu Kawa dan Jambatan Datuk Chong Kiun Kong.
“Projek pembangunan besar-besaran dan penting ini akan menelan belanja RM160 juta, meliputi pembinaan Jambatan Batu Kawa kedua di atas Sungai Sarawak dan jalan dua laluan baharu dengan panjang keseluruhan lebih 5 kilometer. Kedua-duanya akan membantu mengurangkan isu trafik semasa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Datuk Amar Dr Sim berkata bahawa sejak beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa pada tahun 2016, beliau memberi tumpuan untuk menangani isu kesesakan lalu lintas dengan membina jalan baharu bagi menyebarkan aliran trafik.
Beliau menambah, banyak jalan masuk baharu telah disiapkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk Jalan Tan Sri Wee Boon Ping yang menghubungkan Jalan Stephen Yong hingga Batu 4 dan Batu 1/2, jalan masuk baharu dari Kampung Segedup ke Jalan Sungai Maong dan Matang serta jalan masuk alternatif Taman Kwang Tiong.
“Semua jalan baharu itu telah membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas. Selain itu, jalan masuk baharu ke Jalan Ensing Timur dari Jalan Datuk Tan Men Chong/Jalan Stapok Utama Junction, Batu Kawa sedang dalam pembinaan,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa jalan penghubung sepanjang 3 kilometer dari lampu isyarat Jalan Stephen Yong melalui Kampung Segedup ke Matang juga akan dibina tidak lama lagi.
“Semua jalan baharu ini telah dibiayai oleh Kerajaan Sarawak. Bagaimanapun, semua cukai jalan dikutip oleh Kerajaan Persekutuan.
“Justeru, saya menggesa semua Ahli Parlimen Sarawak memperjuangkan lebih banyak projek pembangunan jalan raya yang dibiayai Kerajaan Persekutuan bagi menangani kesesakan lalu lintas di seluruh Sarawak,” katanya. -EDISI UKAS