Mukah Terima Ketibaan Sulung AirBorneo 2 Januari Ini
MUKAH: Bahagian Mukah bakal melakar sejarah baharu dalam sektor pengangkutan udara apabila menerima ketibaan sulung pesawat AirBorneo pada 2 Januari 2026 melibatkan pendaratan serentak di dua lokasi iaitu Lapangan Terbang Mukah dan Lapangan Terbang Tanjung Manis.
Ketibaan tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan jaringan penerbangan domestik khususnya di kawasan pesisir tengah Sarawak.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh semasa mempengerusikan Mesyuarat Persiapan Ketibaan Pertama Pesawat Air Borneo yang telah diadakan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Mukah pada Selasa.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi serta ketua-ketua jabatan Bahagian Mukah.
Menurut mesyuarat tersebut, penerbangan sulung AirBorneo pada tarikh berkenaan akan melibatkan dua jenis pesawat dan jadual ketibaan berbeza.
Di Lapangan Terbang Mukah, pesawat ATR 72 dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 8.25 pagi dan tiba pada jam 9.20 pagi.
Manakala di Lapangan Terbang Tanjung Manis, pesawat De Havilland DHC-6 Twin Otter dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 8.45 pagi dan tiba pada jam 9.25 pagi.
Bagi meraikan ketibaan sulung tersebut, sambutan rasmi akan diadakan di kedua-dua lapangan terbang dengan simbolik ‘water salute’. - EDISI UKAS