Dua PPS Dibuka Di Batu Kawa, Mangsa Banjir Mula Dipindahkan
KUCHING: Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di kawasan Batu Kawa bagi menempatkan mangsa banjir ekoran hujan yang tidak berhenti sejak malam semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuching memaklumkan PPS Dewan Masyarakat Stapok telah dibuka bagi menempatkan mangsa banjir yang terjejas di kawasan Desa Wira, Batu Kawa.
Manakala, PPS kedua iaitu di Dewan Sinar Budi Baru turut dibuka dan menerima kemasukan mangsa sejak pagi tadi.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan berisiko diminta untuk sentiasa peka terhadap perkembangan semasa, mengikuti arahan pihak berkuasa dan segera berpindah sekiranya keadaan memerlukan. -EDISI UKAS