25 Organisasi Konstituensi Mambong Terima Geran MRP
PADAWAN: Sebanyak 25 organisasi di kawasan konstituensi Mambong menerima geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM923,600 bagi Fasa 2/2026 sebagai usaha memperkasa pembangunan komuniti luar bandar.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil di Pejabat Daerah Kecil Padawan pada Khamis.
Dalam ucapannya, Datuk Dr. Jerip menjelaskan, peruntukan MRP kini disalurkan secara terus ke akaun penerima melalui sistem EFT selaras dengan prosedur dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan ketelusan serta kecekapan pelaksanaan.
"Saya mengingatkan semua penerima agar segera menyemak akaun masing-masing dan melaporkan sekiranya terdapat sebarang kelewatan atau masalah pembayaran," katanya.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan penyediaan laporan lengkap penggunaan dana, khususnya bagi penerima peruntukan besar, sebagai langkah pemantauan oleh pihak berkuasa termasuk Unit Ombudsman Sarawak (UOS).
Dalam pada itu, Datuk Dr Jerip memberitahu, kerajaan menyasarkan agar keseluruhan peruntukan MRP bagi tahun 2026 dapat disalurkan sepenuhnya selewat-lewatnya menjelang Jun, bagi memastikan setiap komuniti mendapat manfaat tanpa sebarang keciciran.
Jelasnya, pendekatan ini juga mencerminkan usaha memastikan semua janji pembangunan dapat direalisasikan dalam tempoh yang ditetapkan.
"Bantuan MRP tidak hanya tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja, malah turut disalurkan secara adil kepada pelbagai organisasi termasuk kampung, gereja dan persatuan, selagi permohonan lengkap dikemukakan melalui saluran yang betul," jelas beliau. -EDISI UKAS