Projek Bekalan Elektrik Bung Bratak Hampir Siap, Tunggu Pemasangan Meter
BAU: Projek bekalan elektrik ke Pusat Kebudayaan Bung Bratak kini hampir siap sepenuhnya dan hanya menunggu untuk pemasangan meter sahaja.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, pemasangan meter itu akan dilaksanakan pihak Sarawak Energy Berhad sebelum dapat beroperasi sepenuhnya.
"Saya berharap agar pemasangan meter itu dapat dilaksanakan dengan kadar segera, khususnya sebelum Sambutan Bung Bratak yang dijadual berlangsung pada 1 Mei depan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan tinjauan ke tapak projek berkenaan bagi melihat sendiri perkembangan semasa pada Khamis.
Dalam lawatan sama, beliau turut berkesempatan meninjau perkembangan Projek Bina Semula Gereja St Benedict yang sedang dilaksanakan di Kampung Tembawang Sauh.
Jelasnya, ini merupakan komitmen berterusan beliau dalam memastikan kemudahan asas serta pembangunan komuniti setempat terus diberi perhatian. -EDISI UKAS