Countdown 2026 Himpunkan Ribuan Rakyat Sarawak, Serlah Harmoni Dan Semangat Perpaduan
KUCHING: Sambutan Countdown 2026 yang bertemakan ‘Fiesta’ berjaya menghimpunkan ribuan rakyat Sarawak dalam suasana penuh harmoni dan semangat perpaduan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran Countdown 2026 bukan sekadar meraikan detik peralihan tahun, malah mencerminkan semangat rakyat Sarawak yang terus bersatu padu serta kaya dengan kreativiti.
Menurut beliau, tema ‘Fiesta’ menggabungkan elemen seni, muzik, teknologi dan kreativiti golongan muda sebagai simbol perjalanan Sarawak ke arah 2030, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri yang progresif dan inklusif.
“Pelbagai pengisian acara yang segar dan dinamik ditampilkan, termasuk persembahan band tempatan, tarian kreatif serta artis-artis tempatan dan antarabangsa yang menceriakan sambutan malam ini,” katanya dalam perutusan sempena Countdown 2026 di Tebingan Sungai Kuching pada Rabu.
Antara artis yang memeriahkan pentas sambutan malam ini ialah kumpulan popular KRU, penyanyi tersohor Dayang Nurfaizah, Naqiu, Jatt Ali serta artis antarabangsa Judika.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa syukur terhadap kemajuan dan pencapaian Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang menyaksikan pembangunan infrastruktur baharu, pertumbuhan ekonomi hijau, peningkatan sektor pelancongan serta penekanan terhadap pendidikan generasi muda.
“Segala usaha ini membuktikan Sarawak sedang bergerak maju secara tersusun dan holistik, berlandaskan perpaduan yang kukuh antara pemimpin dan rakyat,” ujarnya lagi.
Melangkah ke tahun 2026, beliau optimis Sarawak akan terus mencipta kejayaan, membina negeri yang aman dan makmur serta mengangkat nama Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi.
Mengakhiri perutusan, beliau menyeru seluruh rakyat Sarawak agar melangkah ke tahun baharu dengan rasa syukur, semangat baharu, keyakinan serta harapan yang lebih baik demi memastikan Sarawak terus maju dan makmur.-EDISI UKAS