Sambutan TMM2026 di ICQS Miri Perkukuh Miri sebagai Destinasi Pelancongan Utama Sarawak
MIRI: Inisiatif sambutan kempen promosi di pintu masuk utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Miri menjadi platform penting dalam memperkukuh usaha mempromosikan Miri sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Sarawak.
Majlis yang berlangsung meriah pada Rabu itu telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Ia selari dengan pelaksanaan inisiatif nasional yang diadakan serentak di pintu-pintu masuk utama dan hab pengangkutan di seluruh negara.
Menurut beliau, sambutan di ICQS Miri bukan sekadar menyambut ketibaan pelawat tempatan dan antarabangsa, malah berperanan membentuk tanggapan awal yang positif terhadap Miri sebagai sebuah bandar raya mesra pelancong serta kaya dengan produk dan tarikan pelancongan.
“Inisiatif ini menyokong usaha berterusan untuk mengetengahkan Miri sebagai pintu masuk strategik pelancongan ke utara Sarawak, sekali gus memperkukuh identiti pelancongan bandar raya ini dalam TMM2026,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendedahan awal kepada elemen kebudayaan, hospitaliti masyarakat setempat serta keunikan destinasi di Miri.
Ia sekali gus mampu meningkatkan daya tarikan bandar raya itu dalam kalangan pelawat, khususnya yang memasuki Sarawak melalui laluan darat.
Kempen sambutan di pintu masuk utama ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan lebih 300 acara utama di bawah Kalendar Pelancongan Tahun Melawat Malaysia 2026, yang merangkumi pelbagai program pelancongan, kebudayaan dan komuniti di seluruh negara sepanjang tahun.
Inisiatif tersebut dijangka dapat meningkatkan kemasukan pelancong ke Miri, merancakkan ekonomi tempatan serta menyumbang kepada pertumbuhan mampan sektor pelancongan di peringkat negeri dan nasional. — EDISI UKAS