Sarawak Mulakan Kempen TMM2026 Dengan Sambutan Rasmi Pengunjung Di KIA
KUCHING: Sarawak memulakan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dengan sambutan rasmi ketibaan pelawat di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang menyifatkan inisiatif ini mencerminkan kesiapsiagaan Sarawak menerima pelawat domestik dan antarabangsa.
“Bagi Sarawak, aktiviti sambutan dijalankan di sembilan lokasi merangkumi pintu masuk udara, darat dan sempadan.
“Antaranya termasuk Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu, selain Tebedu, Biawak dan Sungai Tujuh,” katanya ketika ditemui media selepas sambutan ketibaan pelawat di Balai Ketibaan Antarabangsa KIA pada Khamis.
Mengulas lanjut, katanya majlis itu melambangkan keramahan rakyat Sarawak serta komitmen kerajaan negeri dalam memberi persepsi yang positif kepada pelawat, sama ada untuk percutian, kunjungan keluarga atau pulang ke kampung halaman.
Sambutan itu turut menampilkan persembahan kebudayaan yang mempamerkan kepelbagaian warisan Sarawak dan diselaraskan dengan ketibaan penerbangan dari Subang, Kuala Lumpur dan Singapura.
Dalam pada itu, beliau turut menjemput pelancong untuk datang ke wilayah ini bagi menikmati sendiri keunikan produk pelancongan yang ditawarkan.
“Kami mengalu-alukan kehadiran semua pelancong domestik dan antarabangsa ke Sarawak dan seterusnya ke Malaysia sempena permulaan TMM 2026,” katanya. - EDISI UKAS