LAWAS: Sundar kini menyaksikan transformasi ketara dengan kemajuan infrastruktur dan kemudahan asas yang lebih baik, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, kemajuan yang dinikmati rakyat adalah hasil usaha berterusan kerajaan yang menitikberatkan kebajikan rakyat melalui penyediaan kemudahan dan pembangunan infrastruktur.
“Sundar kini telah menunjukkan perubahan dan kemajuan yang ketara berbanding sebelum ini, khususnya dari segi kemudahan asas seperti jaringan jalan raya yang lebih baik dan selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program sempena Ambang Tahun Baharu 2026 di Dataran Pekan Sundar, pada Rabu.
Menurutnya kejayaan program kemasyarakatan seperti Program Gegar Sundar bergantung kepada kerjasama semua pihak termasuk masyarakat, penganjur dan kerajaan.
Dato Henry berharap kawasan Sundar akan terus membangun dengan sokongan padu rakyat dan kerajaan, memastikan pembangunan yang dirancang dilaksanakan secara berterusan.
Tegasnya, pelbagai inisiatif dan bantuan kerajaan membuktikan komitmen untuk kesejahteraan rakyat kini dan generasi akan datang.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program dan mengakhiri ucapannya dengan harapan agar tahun baharu membawa lebih banyak kejayaan, kemajuan, dan kesejahteraan kepada masyarakat setempat. - EDISI UKAS