KUCHING: Sarawak akan terus menyokong agenda pelancongan nasional menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), selaras dengan usaha negara meningkatkan ketibaan pelawat dan hasil pelancongan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata walaupun TMM2026 merupakan inisiatif persekutuan yang diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia, namun Sarawak kekal komited dalam menyokong pelaksanaannya.
“TMM2026 adalah inisiatif pelancongan bertaraf antarabangsa. Walaupun ia diselaraskan di peringkat pusat, Sarawak tetap memberikan sokongan kerana kita adalah satu Malaysia dan menyokong agenda nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan pelancaran TMM2026 di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), pada Khamis.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, Malaysia menyasarkan 40 juta pelawat pada 2025 dan 43 juta pelawat pada 2026.
Sementara Sarawak pula jelasnya, menetapkan sasaran lima juta pelawat pada 2025, di mana setakat November lalu mencatatkan 4.4 juta ketibaan.
“Walaupun sasaran lima juta pelawat tidak dicapai sepenuhnya, ia tetap merupakan pencapaian terbaik Sarawak setakat ini,” katanya.
Beliau mendedahkan hasil pelancongan negeri juga mencatat purata melebihi RM1 bilion sebulan sepanjang 11 bulan pertama 2025.
Tambahnya, kerajaan negeri akan menilai prestasi akhir 2025 sebelum menetapkan sasaran ketibaan pelawat bagi 2026, dengan penanda aras lima juta pelawat kekal sebagai sasaran utama industri pelancongan Sarawak. - EDISI UKAS