Program OSC MIDS Perkukuh Kerjasama Tangani Isu Dadah di Lawas
LAWAS: Isu penyalahgunaan dadah di Daerah Lawas perlu ditangani secara bersepadu dan berterusan melalui penglibatan aktif semua pihak termasuk golongan belia, komuniti setempat, agensi kerajaan serta sektor swasta.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Anak Tindan, berkata usaha membanteras dadah tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak penguatkuasa, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua agensi berkaitan.
Menurut beliau, institusi keluarga memainkan peranan amat penting dalam membentuk sahsiah anak-anak agar tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
“Masyarakat dan ahli keluarga perlu sentiasa mendekati, menasihati serta membimbing anak-anak supaya mereka tidak terpengaruh dengan gejala dadah. Pada masa yang sama, kempen kesedaran perlu dipertingkatkan oleh pimpinan tempatan, ketua masyarakat serta jabatan dan agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program One Stop Committee (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Daerah Lawas yang berlangsung di Dewan Waterfront Kampung Dato, Kuala Lawas, semalam.
Program anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen P.222 Lawas, YB Dato Henry Sum Agong, dan dihadiri seramai 164 orang peserta.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lawas, Aminul Fadzrin bin Abdul Rahim, Penghulu Hj Idris bin Kassim, ketua-ketua jabatan serta pemimpin masyarakat setempat.
DSP Liong menjelaskan, program tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman orang awam mengenai bahaya dadah, memberi pendedahan tentang jenis dan trend dadah semasa, menjelaskan implikasi undang-undang terhadap kesalahan dadah serta menggalakkan penyaluran maklumat kepada pihak berkuasa sebagai langkah pencegahan jenayah.
Sementara itu, Dato Henry Sum Agong dalam ucapannya menegaskan bahawa masalah sosial termasuk penyalahgunaan dadah akan menjadi semakin sukar dikawal sekiranya tidak ditangani dari peringkat awal.
“Pembangunan dan kemajuan perlu seiring dengan pembentukan nilai serta disiplin masyarakat. Usaha menangani masalah sosial bukan hanya tanggungjawab polis atau agensi tertentu, tetapi memerlukan penglibatan semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan bersepadu yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang, peranan institusi masyarakat dan pendekatan keagamaan bagi memastikan usaha pencegahan lebih berkesan.
Menurutnya, pendidikan agama dan penerapan nilai murni sejak usia muda amat penting kerana semua agama menekankan akhlak mulia serta menjauhi perkara negatif.
Program berkenaan yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang itu diakhiri dengan penyampaian cenderamata, sesi bergambar beramai-ramai serta jamuan kepada semua hadirin.