Hilangnya Seorang Intelektual Sarawak - Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi
KUCHING: Sarawak kehilangan intelektual yang berani menyatakan kebenaran tanpa selindung susulan pemergian penganalisis ekonomi terkemuka, mendiang Profesor Madya Dato Dr Madeline Berma.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan mendiang sebagai tokoh yang lantang memberikan pendapat mengenai isu-isu yang timbul tanpa melihat kepada parti politik terutamanya latar belakang beliau sebagai penyelidik yang mengupas isu secara mendalam.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa memberi penghormatan terakhir bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi kepada mendiang Dato Dr Madeline di kediamannya di Siol Kandis pada Khamis.
Di kesempatan itu, beliau bersama Toh Puan Fauziah turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang sambil memberikan kata-kata dorongan kepada mereka.
Dato Dr Madeline menghembuskan nafas terakhir pada usia 64 tahun di kediamannya di Bandar Baru Bangi, pada Selasa lepas.
Berasal dari Kuching, mendiang merupakan tokoh ekonomi yang telah memberikan sumbangan besar dalam pembangunan ekonomi bukan sahaja di Sarawak malah di peringkat nasional.
Mendiang Dato Dr Madelin dijangka akan dikebumikan di Perkuburan Sarawak Dayak National Union (SDNU), Siol Kandis pada Sabtu ini. -EDISI UKAS