Gawai Antu Lambang Identiti Masyarakat Dayak Wajar Dipelihara
BINTANGOR: Gawai Antu bukan sekadar acara tradisi, tetapi lambang identiti masyarakat Dayak yang wajar dipelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, ini demi kesinambungan budaya dan warisan yang ada di Sarawak.
“Gawai Antu merupakan warisan budaya yang perlu terus dipelihara dan dihargai kerana ia mencerminkan identiti serta kekayaan adat resam masyarakat setempat, di samping menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di kawasan Meradong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sambutan Gawai Antu 2025 di Rumah Tunjang, Sungai Lelabi Bintangor pada Rabu.
Dalam majlis tersebut, Datuk Ding turut beramah mesra bersama penduduk setempat serta mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh penduduk Rumah Tunjang, sambil mendoakan agar tahun baharu membawa kesejahteraan, kesihatan yang baik dan kemakmuran kepada semua.
Sambutan Gawai Antu disertai oleh sembilan pintu Rumah Tunjang ysebagai tanda penghormatan kepada roh nenek moyang mengikut adat dan tradisi masyarakat Dayak. -EDISI UKAS