PUSA: Kawasan Beting Maro kini menikmati pelbagai pembangunan yang dikecapi terutama di kawasan luar bandar atas hasil usaha Kerajaan Sarawak untuk melihat Bumi Kenyalang terus maju dan makmur.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Dato Razaili Gapor berkata, kawasan Beting Maro menerima peruntukan RM205 Juta untuk membangunkan kawasan ini melalui peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Banyak projek pembangunan yang kita rancang untuk kawasan Pusa di mana antaranya adalah kompleks sukan akan dibina di Pusa dengan kos RM25 juta,” katanya dalam Program Rukun Tetangga bersama rakyat anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Pusa pada Rabu.
Tambahnya, kawasan ini mempunyi sumber yang banyak untuk diusahakan di mana Pusa berpotensi dijadikan sebagai pusat pengeluaran produk berasaskan makanan dan pertanian.
Justeru, beliau menyeru agar penduduk Beting Maro merebut peluang untuk mengubah kehidupan yang lebih baik melalui program pertanian, kemahiran serta usahawan dalam perniagaan.
“Saya menyeru agar para belia mahupun penduduk di kawasan ini hendaklah mempunyai ilmu, kemahiran untuk meningkatan taraf hidup yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau turut memohon agar usahawan di kawasan ini perlulah proaktif untuk mempromosikan produk masing-masing seperti mana produk yang terdapat di tempat lain.
Dalam pada itu, Dato Razaili menyeru agar Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Pusa untuk mempunyai perancangan pada tahun 2026 untuk memastikan kawasan jagaan melakukan program serta aktiviti untuk mensejahterakan rakyat di kawasan ini.
Jelasnya, JKKK dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kawasan perlu ada jalinan kerjasama dalam apa juga perkara, agar komuniti dapat bersatu sekali gus mengeratkan perpaduan. -EDISI UKAS