Pendapatan Sarawak Meningkat Ketara Sejak Lapan Tahun Lalu
LIMBANG: Sarawak terus merekodkan pencapaian signifikan merangkumi lonjakan ketara pendapatan negeri serta pelaksanaan projek pembangunan berskala besar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, sepanjang lapan tahun kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, negeri ini telah melalui transformasi besar dari segi pembangunan ekonomi dan infrastruktur.
Menurut beliau, pendapatan negeri yang berada sekitar RM6 hingga RM7 bilion pada peringkat awal pentadbiran kini meningkat hampir dua kali ganda kepada kira-kira RM13 hingga RM14 bilion.
“Kita amat bersyukur mempunyai seorang pemimpin yang berwawasan serta berani membuat keputusan strategik demi memastikan masa depan Sarawak terus terpelihara.
“Kepimpinan ini diyakini mampu membawa Sarawak ke arah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap semasa Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 anjuran SABERKAS Cawangan Bukit Kota dengan kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung di sini pada Rabu.
Mengulas hala tuju pembangunan negara dan negeri, beliau menjelaskan tahun 2025 merupakan tahun terakhir pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 sebelum Malaysia dan Sarawak melangkah ke fasa pembangunan baharu menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Dalam konteks pembangunan Daerah Limbang, beliau memaklumkan pelbagai projek utama telah, sedang dan akan dilaksanakan, termasuk pembinaan projek tebingan sepanjang 1.8 kilometer, Sarawak–Sabah Link Road, Northern Coastal Highway serta Trans Borneo Highway yang dijangka siap antara tahun 2028 hingga 2030.
Menurutnya, projek-projek berkenaan akan memberi impak besar kepada kesalinghubungan wilayah, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan di utara Sarawak, khususnya di Limbang.
Selain itu, kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur asas meliputi jalan raya, bekalan elektrik, air serta telekomunikasi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.-EDISI UKAS