ICQS Biawak Meriah Dengan Sambutan Visit Malaysia 2026
LUNDU: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak, Lundu menjadi antara lokasi tumpuan di Sarawak sempena Sambutan di Pintu-Pintu Masuk di Seluruh Negara dan Hab Pengangkutan Utama bersempena Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang berlangsung pada Khamis.
Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Awang Morshidi telah menyempurnakan program berkenaan yang bertujuan menyambut ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia di samping memperkenalkan kempen VM2026 sebagai usaha meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke negara ini.
Sambutan ini merupakan inisiatif Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) melalui Tourism Malaysia, yang diadakan secara serentak di 55 pintu masuk utama dan hab pengangkutan awam di seluruh negara, meliputi 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.
Di Sarawak, ICQS Biawak dipilih sebagai salah satu lokasi utama berikutan peranannya sebagai pintu masuk darat strategik yang menghubungkan Sarawak dan Kalimantan, sekali gus berfungsi sebagai gerbang kemasukan pelancong ke negeri ini.
Sambutan tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia serta mempromosikan keunikan budaya, khazanah alam semula jadi dan kepelbagaian produk pelancongan yang terdapat di Sarawak.
Kerajaan Sarawak menerusi agensi berkaitan akan terus memberi sokongan kepada pelaksanaan VM2026 demi memastikan sektor pelancongan terus berkembang sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negeri dan negara.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail bersama wakil-wakil jabatan serta agensi kerajaan yang berkaitan.-EDISI UKAS