Komuniti Melanau Miri Hayati Nilai Perpaduan Menerusi Sambutan Perayaan
MIRI: Semangat perpaduan, keharmonian dan kepelbagaian budaya terus diperkukuh menerusi Majlis Perayaan Krismas 2025 dan Menyambut Tahun Baharu 2026 anjuran Persatuan Melanau Miri (PMM) yang berlangsung meriah di Dewan Balau, Wisma Melanau Miri, pada malam Sabtu.
Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran barisan pemimpin kerajaan negeri dan Persekutuan, antaranya Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin serta Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni.
Turut hadir Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang; Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri, Ariffin Mohamad; Temenggong Abang Mohamed Dato’ Sri Abang Othman; Pengerusi Persatuan Melanau Miri, Abdullah Jaini; serta Pengerusi Pengelola Majlis, Boniface Bait.
Dalam ucapannya, Dato Sri Lee merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Persatuan Melanau Miri atas penganjuran majlis yang mencerminkan nilai perpaduan, keharmonian dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Miri.
Menurut beliau, sambutan Krismas dan Tahun Baharu bukan sekadar perayaan keagamaan, malah menjadi simbol kasih sayang, kedamaian serta kebersamaan yang menjadi tunjang kepada kestabilan sosial dan keharmonian masyarakat Sarawak.
Beliau turut memuji peranan aktif komuniti Melanau yang sentiasa menyumbang secara positif kepada pembangunan sosial, ekonomi dan kebudayaan negeri, khususnya di Bandaraya Miri.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak komited untuk mengekalkan keharmonian kaum sebagai asas kepada kemajuan dan kemakmuran negeri.
Sementara itu, Dato Lukanisman dalam ucapan perasmian menzahirkan rasa syukur dan bangga terhadap keunikan masyarakat Sarawak yang berbilang kaum dan agama, namun mampu hidup dalam suasana harmoni serta saling meraikan perayaan antara satu sama lain.
Beliau menyifatkan amalan meraikan pelbagai perayaan seperti Krismas, Hari Raya dan Gawai sebagai cerminan kematangan masyarakat Sarawak yang menjadikan perpaduan sebagai kekuatan utama negeri.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh pelbagai inisiatif pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan, termasuk usaha menaik taraf Lapangan Terbang Miri yang telah disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), selain penambahbaikan kemudahan kesihatan, pendidikan serta infrastruktur demi kesejahteraan rakyat.
Beliau juga menekankan kepentingan pendidikan anak-anak Sarawak dengan menggalakkan ibu bapa dan pelajar memanfaatkan pelbagai inisiatif bantuan kerajaan negeri dan Persekutuan, termasuk bantuan kewangan pendidikan, subsidi tiket penerbangan pelajar serta bantuan pembelian komputer riba.
Pada masa sama, beliau menyeru generasi muda Melanau agar terus mempertahankan identiti dan warisan budaya, termasuk bahasa ibunda, dengan memanfaatkan platform digital sebagai medium mempromosikan budaya kepada generasi baharu.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Cemerlang Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak (PPMS) kepada Scolastica Antonia Steven atas pencapaian cemerlang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan dengan Kepujian dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Selain itu, Persatuan Melanau Miri turut menyampaikan sumbangan kebajikan E-Kasih kepada 10 penerima sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan persatuan dalam membantu ahli yang memerlukan.
Acara diteruskan dengan gimik perasmian Krismas, pemotongan kek Tahun Baharu 2026, penyampaian cenderahati, sesi fotografi, jamuan makan malam, karaoke serta cabutan bertuah yang menambah kemeriahan suasana.
Majlis tahunan ini sekali gus menzahirkan aspirasi Persatuan Melanau Miri selaras dengan slogannya, “Terus Maju”, dalam memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum serta memastikan komuniti Melanau terus relevan dan berperanan aktif dalam arus pembangunan Bandaraya Miri dan Sarawak secara keseluruhan.