Ahli Parlimen Batang Sadong Tinjau Isu Hakisan Gunung Ngeli
SIMUNJAN: Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee mengadakan lawatan tinjauan ke kawasan terjejas akibat hakisan cerun dan tanah runtuh di Kampung Gunung Ngeli, di sini, pada Khamis bagi menilai situasi semasa serta tahap risiko yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk setempat.
Lawatan dilakukan susulan laporan hakisan yang semakin memburuk, khususnya ketika musim hujan berpanjangan yang meningkatkan risiko tanah runtuh di kawasan berkenaan.
Dalam tinjauan itu, Rodiyah menegaskan bahawa keselamatan penduduk adalah keutamaan, dan sebarang isu berkaitan bencana alam perlu ditangani secara menyeluruh serta bersepadu melibatkan semua agensi berkaitan.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan hasil tinjauan serta laporan teknikal, selain merangka langkah mitigasi segera dan perancangan jangka panjang di kawasan terjejas.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut adalah bagi memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan penilaian teknikal yang tepat serta penyelarasan tindakan antara agensi bagi mengurangkan risiko hakisan dan mencegah kejadian tanah runtuh yang lebih serius.
Lawatan turut melibatkan pemeriksaan kawasan cerun kritikal, penilaian aliran air serta sesi perbincangan ringkas bersama wakil komuniti setempat bagi mendapatkan maklum balas mengenai situasi yang dihadapi penduduk.
Rodiyah berharap agar tindakan susulan yang bakal dilaksanakan dapat mempercepat penyelesaian isu berkenaan, sekali gus memberi jaminan keselamatan dan kesejahteraan penduduk Kampung Gunung Ngeli.