SABERKAS Terus Jadi Pemangkin Perpaduan, Pembangunan Belia Pelbagai Kaum
SIBU: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) terus memainkan peranan sebagai pemangkin perpaduan dan pembangunan belia pelbagai kaum di Sarawak selaras dengan pendekatan turun padang serta penglibatan berterusan di peringkat akar umbi.
Presidennya merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pertubuhan belia itu kekal komited mendekati ahli-ahli di peringkat cawangan selepas setiap mesyuarat utama bagi memastikan suara belia didengari dan program yang dilaksanakan kekal relevan serta memenuhi keperluan setempat.
“Dalam tempoh setahun, SABERKAS telah menganjurkan sebanyak 310 aktiviti di seluruh Sarawak.
“Hampir setiap hujung minggu ada program dijalankan dan ini mencerminkan betapa aktifnya SABERKAS di peringkat zon dan cawangan,” katanya ketika berucap pada Program Saberkas Zon Tengah, di sini, pada Khamis.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, aktiviti dianjurkan merangkumi bantuan bencana, program kebajikan, pembangunan belia dan wanita serta inisiatif penyatuan masyarakat berbilang kaum, selaras dengan realiti Sarawak yang mempunyai 34 suku kaum.
Tambahnya, prestasi tersebut turut mendapat pengiktirafan pelbagai pihak termasuk badan belia di peringkat Persekutuan, hasil keupayaan organisasi mengurus penganjuran program, kewangan dan kebajikan ahli secara berkesan.
“SABERKAS bukan sekadar pertubuhan belia biasa. Keanggotaan kita merangkumi pelbagai kaum dan latar belakang.
“Fokus kita adalah menyatukan rakyat dan membina kepimpinan belia dengan ‘Sarawakian outlook’ yang memikirkan kepentingan semua komuniti,” jelasnya lagi.
Beliau turut memaklumkan kedudukan kewangan SABERKAS berada pada tahap stabil dan terus menunjukkan peningkatan setiap tahun hasil pelaburan serta pengurusan berhemah, sekali gus membolehkan dana disalurkan secara konsisten kepada cawangan untuk pelaksanaan aktiviti.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Abdul Karim berkata, SABERKAS berpotensi menambah cawangan baharu susulan perubahan persempadanan kawasan, justeru kepimpinan organisasi perlu terus memperkukuh tadbir urus dan menjaga kebajikan ahli.
Beliau juga menyuarakan hasrat untuk melihat SABERKAS memiliki kemudahan sendiri termasuk bangunan serta pasukan pancaragam (brass band) pada masa hadapan sebagai simbol kekuatan dan identiti pertubuhan belia itu.
Turut hadir semasa program itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Naib Presiden SABERKAS Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro merangkap Setiausaha Agung SABERKAS Sarawak Dr. Safiee Ahmad, ADUN Tellian merangkap Setiausaha Penganjur SABERKAS Sarawak Royston Valentine serta ADUN Bukit Assek merangkap Pengerusi SABERKAS Cawangan Chieng Jin Ek.-EDISI UKAS