Lapan Jambatan Kayu Kampung Merapa Siap Dinaik Taraf
MIRI: Lapan jambatan kayu di Kampung Merapa, Jalan Pujut 8 siap dinaik taraf menerusi peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM200,000 yang diluluskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Projek naik taraf berkenaan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penduduk kampung, khususnya warga emas, kanak-kanak serta wanita yang menggunakan laluan tersebut setiap hari untuk ke sekolah, tempat kerja dan urusan harian.
Kerja-kerja naik taraf tersebut bermula pada 7 November tahun lalu dan melibatkan pembinaan semula lapan buah jambatan dengan jumlah panjang kira-kira 500 meter.
Menurut Adam Yii, kebanyakan jambatan di kampung berkenaan telah dibina sejak bertahun-tahun lalu namun kurangnya penyelenggaraan menyebabkan ia mengalami masalah struktur, kayu reput serta kerosakan pada permukaan jambatan yang boleh membahayakan pengguna harian.
“Anak-anak perlu melalui jambatan ini untuk ke sekolah, ibu bapa ke tempat kerja, manakala warga emas bergantung kepada laluan ini untuk membeli barang keperluan atau mendapatkan rawatan.
"Oleh itu, kerja pembaikan adalah sangat mendesak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan ke tapak tersebut di Kampung Merapa pada Khamis.
Semasa melakukan tinjauan tapak, Adam Yii yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri turut merakamkan penghargaan kepada kontraktor yang telah memberikan kerjasama penuh, memastikan kualiti kerja terjamin sambil mempercepatkan proses pembinaan. -EDISI UKAS