Lebih 200 Pelajar Terima Manfaat Program BTS Parlimen Batang Sadong
SIMUNJAN: Kerajaan terus memperkukuh komitmen dalam memartabatkan agenda pendidikan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan, khususnya bagi memastikan kelangsungan pembelajaran pelajar di kawasan luar bandar.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, pendidikan merupakan asas utama pembangunan modal insan serta pemangkin kepada peningkatan taraf hidup dan mobiliti sosial rakyat.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif pendidikan yang bersifat inklusif dan bersasar terutama di kawasan luar bandar amat penting bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada sistem pendidikan arus perdana sekaligus merapatkan jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika Majlis ‘Back to School’ (BTS) Parlimen Batang Sadong Tahun 2026 di Dewan Mesra Simunjan, pada Khamis.
Majlis anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batang Sadong dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan itu bertujuan membantu ibu bapa dan pelajar membuat persediaan awal menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.
Dalam program tersebut, seramai 206 pelajar menerima bantuan peralatan persekolahan manakala 66 pelajar Tingkatan 6 Rendah turut menerima sumbangan komputer riba bagi menyokong pembelajaran digital.
Menurut Rodiyah, inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa serta memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan akibat kekangan kewangan.
Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2025, lebih RM607,000 peruntukan telah disalurkan bagi sektor pendidikan di Parlimen Batang Sadong, merangkumi program ‘Back to School’, insentif kemasukan ke institusi pengajian tinggi, anugerah pelajar cemerlang serta sumbangan kepada PIBG.
Dalam masa sama, kerajaan katanya turut memberi perhatian serius terhadap isu infrastruktur pendidikan termasuk sekolah daif, selain merangka cadangan pembinaan Kolej Tingkatan 6 bagi memperluas akses pendidikan menengah atas di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS