Kerjasama Yayasan Sime Darby–OSEIC Sarawak Pacu Kecemerlangan Perkhidmatan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas
KUCHING: Sokongan yang diberikan oleh Yayasan Sime Darby kepada OSEIC Sarawak dapat meningkatkan lagi kualiti serta tahap profesionalisme kakitangan badan itu, khususnya barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam penyampaian perkhidmatan intervensi awal kepada kanak-kanak berkeperluan khas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata sokongan tersebut membolehkan OSEIC Sarawak memperkasa latihan, menaikkan standard profesional serta meningkatkan keseluruhan kualiti penjagaan dan perkhidmatan yang disediakan.
“Sokongan daripada Yayasan Sime Darby amat bermakna dalam memperkukuh usaha OSEIC Sarawak untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan kualiti pasukan kami, khususnya barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan intervensi awal,” katanya.
Beliau menjelas demikian pada Majlis perasmian kolaborasi Yayasan Sime Darby & PIBAKAT untuk OSEIC SARAWAK di sini pada Khamis.
Dato Sri Fatimah menambah, pelaksanaan program latihan melalui kerjasama strategik bersama AiTT akan menjadi pemangkin penting dalam membina keupayaan pasukan OSEIC Sarawak, sekali gus memastikan perkhidmatan intervensi awal yang disampaikan lebih berimpak, konsisten berkualiti serta bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.
“Kerjasama strategik bersama AiTT ini akan menjadi pemangkin penting dalam membina keupayaan pasukan kami agar perkhidmatan intervensi awal dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, berimpak dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan,” ujarnya.
Melalui inisiatif tersebut, seramai 30 orang kakitangan OSEIC Sarawak akan menjalani latihan intensif, selain pembangunan jurulatih dalaman bagi menyokong penubuhan pusat-pusat baharu pada masa akan datang.
Inisiatif ini juga dijangka dapat memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berkualiti tinggi secara menyeluruh di seluruh Sarawak.
Dato Sri Fatimah turut memaklumkan bahawa OSEIC Sarawak berhasrat menyokong kakitangannya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma dan Ijazah dalam bidang Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak Berkeperluan Khas, melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan bagi membangunkan kepakaran jangka panjang.
Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Sime Darby, khususnya Yang Amat Mulia Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar, atas langkah awal yang disifatkan sebagai asas penting ke arah pembinaan kerjasama jangka panjang di Sarawak.
Beliau berharap sumbangan dan kerjasama tersebut dapat diteruskan melalui pelbagai inisiatif lain demi meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan serta membawa manfaat berterusan kepada kanak-kanak berkeperluan khas dan keluarga mereka.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua serta Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan OSEIC Sarawak merangkap Presiden Persatuan Ibu Bapa Kanak-Kanak Berkeperluan Khas Sarawak (PIBAKAT) Zaidi Ahmad.