Sarawak Kekal Harmoni, Tolak Politik Kebencian Berasaskan Agama
MIRI: Kerajaan Sarawak akan terus mempertahankan keharmonian, toleransi dan perpaduan masyarakat majmuk serta menolak sebarang bentuk ekstremisme dan politik kebencian berasaskan agama.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, menegaskan perkara tersebut ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Krismas 2025 dan Tahun Baharu 2026 di Balai Raya Kampung Muhibbah, Kuala Baram, pada Sabtu.
Menurut beliau, sambutan Krismas bukan sahaja membawa mesej kasih, kedamaian dan pengharapan, malah mencerminkan kematangan masyarakat Sarawak yang mampu hidup dalam suasana saling menghormati meskipun berbeza latar belakang agama dan budaya.
“Di Sarawak, rakyat bebas saling mengucapkan selamat perayaan, berkunjung ke rumah rakan serta berkongsi kegembiraan tanpa rasa curiga. Inilah identiti dan kekuatan Sarawak yang perlu terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkata, keharmonian di Sarawak bukan sekadar slogan, sebaliknya dizahirkan melalui amalan kehidupan seharian termasuk kewujudan rumah ibadat pelbagai agama yang berdiri bersebelahan serta kerjasama erat antara komuniti dalam penganjuran program kemasyarakatan.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Kerajaan Sarawak yang berperanan memperkukuh hubungan antara agama melalui sokongan kepada rumah ibadat, inisiatif kebajikan serta program pembangunan komuniti.
“UNIFOR membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan agama dihormati dan diraikan, bukannya dipolitikkan, malah dijadikan jambatan untuk menyatukan masyarakat,” jelasnya.
Beliau juga memuji semangat gotong-royong dan keprihatinan sosial yang diamalkan oleh komuniti Kampung Muhibbah yang disifatkan sebagai asas penting dalam membentuk masyarakat yang aman, berdaya tahan dan saling menyokong.
Mengakhiri ucapannya, Dato Sri Lee menyeru semua pihak agar terus memperkukuh nilai perpaduan, menolak ekstremisme serta memberi perhatian kepada golongan memerlukan demi memastikan Sarawak kekal aman, harmoni dan sejahtera menjelang tahun baharu 2026.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Borneo Evangelical Mission (BEM) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Muhibbah dan disertai penduduk setempat dalam suasana penuh muhibah.