Pesta Ambal Asajaya Berpotensi Jadi Produk Pelancongan Komuniti Mampan
ASAJAYA: Pesta Ambal Asajaya 2026 dilihat berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan komuniti mampan berteraskan budaya, alam semula jadi serta warisan makanan tradisional di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran pesta tersebut bukan sahaja memelihara warisan budaya tempatan, malah berupaya menjadi pemangkin pembangunan ekonomi komuniti setempat.
“Gabungan elemen budaya, alam semula jadi, pengembaraan, makanan dan festival menjadikan Pesta Ambal Asajaya sebagai platform holistik yang memberi nilai tambah kepada pembangunan kawasan ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Penangguhan Pesta Ambal Asajaya 2026 yang berlangsung di Dataran Pekan Asajaya, pada Sabtu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Pejabat Daerah Asajaya atas komitmen dan kerjasama strategik yang berterusan, sekali gus membuktikan keupayaan komuniti setempat menganjurkan acara berskala besar secara mampan.
Tambahnya, penganjuran pesta ini melengkapi usaha kerajaan negeri yang terus komited melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Daerah Asajaya merangkumi penambahbaikan infrastruktur asas, kemudahan awam, jaringan jalan raya serta inisiatif sosioekonomi demi kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali berkata, Pesta Ambal Asajaya 2026 dianjurkan sebagai platform untuk memperkenalkan identiti dan keunikan tempatan kepada generasi muda serta pengunjung dari dalam dan luar kawasan.
Jelasnya, ambal bukan sekadar makanan tradisi, malah simbol nilai kebersamaan, kreativiti dan kearifan lokal yang diwarisi sejak turun-temurun oleh masyarakat Asajaya.
Antara pengisian utama Pesta Ambal Asajaya 2026 termasuk AmbalHunt, Amballicious, sukaneka rakyat, pertandingan memasak serta aktiviti merewang yang menzahirkan semangat gotong-royong dan perpaduan masyarakat.
Program AmbalHunt mencatat penyertaan 48 peserta melibatkan 13 kumpulan, dengan jumlah kutipan ambal sebanyak 53.05 kilogram, manakala Amballicious disertai oleh 13 kampung sekitar Asajaya, Moyan, Serpan dan Sebandi.
Sukaneka rakyat pula melibatkan 60 peserta kanak-kanak dari beberapa Perpustakaan Desa di kawasan tersebut. -EDISI UKAS