GEDONG: Pelaksanaan tiga projek jalan baharu di kawasan Gedong yang bernilai kira-kira RM2.8 bilion akan terus dipantau rapi agar dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ketiga-tiga projek berkenaan melibatkan Lebuhraya Serian–Gedong–Samarahan yang merangkumi lima pakej, cadangan naik taraf Jalan Gedong–Simunjan melibatkan dua pakej serta cadangan Jalan Gedong–Semalatong yang melibatkan tiga pakej.
Ujarnya, satu taklimat terperinci mengenai kemajuan semasa projek telah diadakan bagi menilai status pelaksanaan di tapak pembinaan.
"Kami telah menerima taklimat yang sangat terperinci mengenai kemajuan projek.
"Terdapat beberapa isu, terutamanya isu berkaitan tanah, dan kami berharap isu-isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan kontraktor meneruskan pembinaan jalan dengan lancar.
"Kontraktor telah mula mengambil alih tapak projek dan di beberapa kawasan, kerja-kerja pembinaan telah pun dijalankan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan ke jambatan kedua di tapak projek Serian-Gedong-Samarahan pada Isnin.
Untuk makluman, projek jalan Serian-Gedong-Samarahan sepanjang 45.65 km dan projek jalan Gedong-Simunjan sepanjang 20.6 km dijadualkan siap pada 2028.
Manakala, projek jalan Gedong-Semalatong sepanjang 57.45 km dijadualkan siap pada 2027.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) itu memberitahu, satu jawatankuasa pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk mengadakan mesyuarat harian dan bulanan bagi memantau pembangunan projek ini.
Menurutnya, pasukan tersebut juga akan melaporkan kepada beliau setiap dua bulan sekali bagi memastikan projek siap seperti yang dirancang.
"Inilah falsafah kerja kami iaitu semua pihak termasuk menteri, timbalan menteri, setiausaha tetap serta pengarah bersama pasukan masing-masing sentiasa turun ke tapak projek dan berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap sebarang masalah yang dihadapi.
"Masalah sememangnya tidak dapat dielakkan namun tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan," tegasnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri MIPD Datuk Ir Aidel Lariwoo, Pengarah JKR Datu Dr Cassidy Moris serta pegawai kanan JKR dan MIPD. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz & Lonney Jinab Doris
Gambar: Ahmad Daniel Faiz