Penyukatan Lot Pertanian NCR Kampung Kakeng Dilaksana
SERIAN: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh komitmen dalam melindungi dan mengiktiraf hak tanah adat bumiputera (NCR) apabila melaksanakan Dialog Lapangan Pengukuran Lot Pertanian di bawah Inisiatif Baharu NCR di Kampung Kakeng, di sini pada Selasa.
Program yang berlangsung di Balai Raya Kampung Kakeng itu menjadi langkah penting dalam mempercepatkan proses penyukatan dan pengeluaran hak milik tanah secara sah kepada penduduk, sekali gus memberi jaminan pemilikan tanah yang lebih teratur dan berdaftar.
Dialog berkenaan memaklumkan bahawa lot-lot pertanian di Kampung Kakeng telah diluluskan untuk disukat di bawah Program NCR Inisiatif Baharu dalam kawasan Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Sarawak (KTN) L.N. 175 bertarikh 25 Ogos 2017.
Proses tersebut melibatkan pengukuran lot individu sebelum pengeluaran Surat Hakmilik Tanah di bawah Seksyen 18 KTN oleh Jabatan Tanah dan Survei.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada, berkata pelaksanaan program seperti ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan hak tanah penduduk kampung diiktiraf dan didaftarkan secara sah.
“Program ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu penyukatan tanah serta memastikan penduduk kampung memperoleh geran tanah yang dikeluarkan secara rasmi oleh Jabatan Tanah dan Survei,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada DBNA atas peranan aktif dan komitmen berterusan dalam memudah cara pelaksanaan inisiatif berkenaan bersama Jabatan Tanah dan Survei.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak DBNA yang bertungkus lumus membantu serta memastikan urusan penyukatan tanah ini dapat dilaksanakan dengan lancar,” tambahnya.
Selain sesi penerangan, dialog lapangan itu turut menjadi platform interaksi dua hala antara agensi pelaksana dan penduduk kampung bagi menjelaskan prosedur pengukuran, keperluan dokumentasi serta menangani isu berkaitan tanah pertanian, sekali gus mempercepatkan proses pemilikan geran tanah secara rasmi.-EDISI UKAS