Penambahbaikan Diperlukan, Eco Park Dicadang Jadi Ikon Hijau Baharu Miri
MIRI: Beberapa penambahbaikan masih diperlukan di Projek Rakyat Taman Awam Miri Fasa 4 Zon B – Rock Cliff and Forest Park walaupun projek tersebut telah siap sepenuhnya.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, demikian semasa mengadakan lawatan tapak projek berkenaan di Taman Awam Miri, pada Isnin.
Menurut beliau, projek yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) itu telah siap selepas tempoh pembinaan selama 18 bulan dan mencapai siap praktikal pada 22 Disember 2025, namun didapati sistem saliran dalaman masih kurang berkesan dan memerlukan penambahbaikan segera.
Beliau turut menegaskan kepentingan penyediaan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU), termasuk laluan dan tanjakan yang sesuai bagi memastikan taman awam tersebut inklusif dan mudah diakses oleh semua.
Mengulas konsep Rock Cliff Park, beliau berkata pembangunan kawasan itu menekankan pemeliharaan alam semula jadi dengan penggunaan minimum bahan buatan bagi mengekalkan ciri semula jadi tebing batu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mencadangkan kesinambungan projek melalui pembangunan Fasa Kedua iaitu Eco Park, termasuk pembinaan Green Wall of Miri menggunakan Eco Brick yang pernah mencatat pengiktirafan Guinness World Records.
Cadangan tersebut disifatkan mampu menjadi ikon hijau baharu bandar Miri serta menyokong aspirasi Green Miri City.
MBM telah diminta menyediakan reka bentuk konsep dan anggaran kos bagi tujuan pertimbangan Kerajaan Sarawak.
Mengakhiri lawatan, beliau menegaskan keperluan melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan, khususnya berkaitan saliran, pembaikan kecacatan dan kemudahan OKU bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung.