Projek Mesra Rakyat 2025 Perkukuh Prasarana di Sarikei
SARIKEI: Keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kesejahteraan rakyat terus terserlah dengan siapnya beberapa lagi projek pembangunan di kawasan Sarikei, sekali gus memperkukuh kemudahan asas khususnya jaringan jalan luar bandar.
Projek-projek berkenaan yang dilaksanakan menerusi Projek Mesra Rakyat 2025 antaranya, kerja penambahbaikan serta pembinaan jalan konkrit di Jalan Arak Sulai, Sungai Meramat, bagi meningkatkan kemudahan perhubungan penduduk setempat.
Selain itu, projek pembinaan jalan konkrit turut dilaksanakan di Jalan Christopher Berai, Sungai Meramat, manakala satu lagi projek melibatkan kerja penambahbaikan dan pembinaan jalan konkrit di Jalan Sing Ling, kawasan Jalan Ulu Sungai Pilit, Sungai Meradong, Bintangor.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Dato' Sri Huang Tiong Sii berkata, pelaksanaan projek berkenaan bertujuan memperbaiki kemudahan asas yang memberi manfaat jangka panjang sertamemudahkan pergerakan harian penduduk.
“Projek ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya, malah menyumbang kepada pembangunan serta kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya di sini pada Selasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan projek tersebut dan berharap agar kerjasama berterusan dapat memastikan setiap projek dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
Dalam pada itu, sesi pengesahan siap kerja projek turut dilakukan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei.-EDISI UKAS