Projek Kelapa 132 Hektar Pacu Ekonomi Luar Bandar Gedong
GEDONG: Projek penanaman kelapa berimpak tinggi seluas 132 hektar di Gedong dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan sektor pertanian serta peningkatan pendapatan komuniti luar bandar di kawasan tersebut.
Projek yang melibatkan penyertaan seramai 34 peserta itu merupakan antara inisiatif strategik di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) bagi memperkasa ekonomi setempat melalui pertanian berskala besar dan mampan.
Ahli Parlimen Batang Sadong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan Pertanian IRSDA, Rodiyah Sapiee, berkata projek berkenaan bukan sahaja memberi pulangan ekonomi kepada peserta, malah menyumbang kepada keselamatan makanan dan pembangunan jangka panjang luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika meninjau projek pembangunan tanaman kelapa baharu di Lubok Teranggas Blok B, Gedong pada Selasa.
Menurutnya, tanaman kelapa jenis Malayan Tall dipilih sebagai tanaman utama dan pada tahun pertama pelaksanaan, sebanyak 16,236 pokok kelapa telah ditanam dengan kepadatan 123 pokok sehektar.
“Bagi tahun pertama, kos penanaman berjumlah RM983,822.40 menggunakan dana persekutuan, manakala kos penyelenggaraan tahun kedua dianggarkan sebanyak RM462,000 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025,” katanya.
Selain penanaman, projek tersebut turut merangkumi pembangunan infrastruktur asas bernilai RM3.27 juta melalui peruntukan IRSDA yang telah siap sepenuhnya pada 2024.
Rodiyah menegaskan, kejayaan projek berkenaan amat bergantung kepada pemantauan rapi dan berterusan, khususnya dari aspek penyelenggaraan.
Sehubungan itu, beliau berharap Jabatan Pertanian Malaysia dapat meningkatkan kekerapan pemantauan bagi memastikan pertumbuhan tanaman yang subur serta pengeluaran hasil yang optimum pada masa hadapan.
“Pelaburan besar yang telah disalurkan perlu diurus secara berkesan agar memberi pulangan lumayan, seterusnya memberi manfaat jangka panjang kepada peserta serta merancakkan pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Pertanian Bahagian Samarahan, Hamzah Abu Bakar dan Pegawai Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Abang Ahmad Azlan Abang Ariffin.-EDISI UKAS