Kerajaan Sarawak Tingkat Kesiapsiagaan Hadapi Gelombang Kedua Banjir
KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperkukuh tahap kesiapsiagaan semua agensi dan jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat bahagian dan daerah bagi menghadapi kemungkinan banjir lebih buruk susulan jangkaan hujan lebat dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pengalaman mengurus banjir awal minggu ini telah memberi banyak pengajaran penting, khususnya dalam aspek pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurut beliau, sebanyak 10 PPS telah dibuka di Kuching ketika kejadian banjir tersebut dan secara keseluruhan, pengurusan pusat berkenaan adalah memuaskan.
“Setakat ini, kita amat berpuas hati dengan pengurusan PPS di Kuching semasa banjir baru-baru ini,” katanya kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia pada Selasa.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Datuk Chiew Chee Yau, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Abdul Wahab Rahim serta ketua-ketua jabatan yang lain.
Menurut Datuk Amar Douglas Uggah, antara langkah penambahbaikan yang telah dikenal pasti termasuk penyediaan senarai tugasan yang lebih tersusun semasa proses pemindahan mangsa, penyediaan bekalan makanan dan keperluan asas, pemeriksaan kesihatan oleh jabatan perubatan serta kerja-kerja pencegahan denggi melalui semburan oleh pihak berkuasa tempatan.
Tambahnya, semua peralatan dan kemudahan di PPS juga perlu dipastikan lengkap dan berada dalam keadaan baik bagi menjamin keselesaan mangsa yang terjejas.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan PPS ini selesa. Mangsa sudah berada dalam keadaan susah, jadi kita tidak mahu ketidakcekapan pengurusan menambahkan lagi kesukaran mereka,” ujarnya.
Datuk Amar Douglas Uggah turut menasihati penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir agar sentiasa bersedia dan mematuhi arahan pemindahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Apabila diarahkan berpindah, mereka mesti berpindah kerana matlamat utama kita adalah untuk memastikan keselamatan mereka,” tegasnya.
Tambahnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memberi jaminan akan memantau kawasan penempatan yang ditinggalkan bagi memastikan keselamatan harta benda penduduk terpelihara. - EDISI UKAS