Penduduk Igan Bakal Miliki Kompleks Sukan Rekreasi
IGAN: Penduduk di Daerah Kecil Igan bakal menikmati kemudahan sukan dan rekreasi baharu menerusi pembinaan Kompleks Sukan Komuniti dan Rekreasi yang akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya berkata, projek berkenaan merupakan pelengkap kepada kemudahan sedia ada di peringkat kampung, khususnya selepas kewujudan dewan masyarakat yang berfungsi sebagai pusat aktiviti komuniti setempat.
Katanya, kerja-kerja awal projek akan dimulakan dengan pelaksanaan penembokan kawasan sebagai fasa pertama selepas tapak projek dikenal pasti.
“Insya-Allah, selepas penyerahan tapak projek kepada pihak kontraktor, kerja-kerja penembokan di kawasan ini akan dimulakan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Tapak Projek Kompleks Sukan Komuniti dan Rekreasi Igan kepada pihak kontraktor, pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau berharap agar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk setempat dapat memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.
Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan kompleks tersebut dijadualkan berlangsung sehingga September ini dan pihak kontraktor diharap dapat menyiapkan projek lebih awal berikutan proses kelulusan serta sokongan daripada agensi berkaitan akan dipercepatkan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan penyelarasan awal, khususnya melibatkan tiga projek berskala besar yang berkait rapat dengan pengurusan tapak dan urusan pentadbiran bagi mengelakkan sebarang kelewatan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Beliau juga berharap agar pembinaan Kompleks Sukan Komuniti dan Rekreasi Igan dapat disiapkan mengikut jadual dan dilaksanakan dengan lancar demi manfaat penduduk setempat.